Hiburan

Shuib Sudah Selesaikan Isu KWSP Pekerja, Syukur Pelanggan Setia Membeli – ‘Kedudukan Kewangan Makin Stabil, Sambutan Luar Biasa’

1.16KViews

Penyampai radio dan pelawak Shuib menarik nafas lega apabila isu culas bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat minuman Bubble Bee miliknya sudah diselesaikan.

Ketika ditemui, Shuib menyatakan dia sudah berhubung dengan pihak KWSP bagi menyelesaikan masalah tunggakan yang melibatkan kira-kira 300 pekerja.

Kata Shuib, 39, seluruh pekerja yang terlibat juga sudah menerima memo dan kiriman emel mengenai status pembayaran.

Mengenai isu KWSP yang tular baru-baru ini, semuanya saya ambil sebagai ‘wake up call’ dan satu pengajaran kepada Bubble Bee tetapi dalam masa sama kita sangat komited serta positif.

Maksudnya, segala permasalahan mengenai KWSP sudah selesai. Pekerja sudah mendapat memo dan kiriman e-mel selain sedia faham mengenai status (pembayaran) KWSP.

Shuib berkata demikian selepas perasmian outlet baharu Bubble Bee cawangan Masjid Tanah, pada Ahad.

Tambah pemilik nama Shahmira Muhammad, dia berasa tertekan namun mengambil iktibar daripada kontroversi yang berlaku.

Ini satu ‘tembakan’ buat diri ini, tetapi saya ambil positif kerana dalam kehidupan kalau tidak dicuit tidak perasan.

Ditanya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pekerja, bapa kepada empat orang cahaya mata enggan memanjangkan lagi tetapi sedang mencari untuk diajak bersemuka.

Bukan untuk cari salah tetapi kita hendak bersua atau berdepan dan selesaikan dengan cara baik. Jika ada masalah, cerita dengan baik dan saya akan bertanggungjawab.

Kita ada ramai pekerja tetapi disebabkan dua, tiga orang ini buatkan yang lain tidak yakin.

Untuk (tindakan) saman tidak, tidak baik kerana saya anggap ini teguran berhemah dan bermanfaat.

Dalam pada itu, suami kepada usahawan, Watie Hanifiah bersyukur apabila krisis ini sama sekali tidak menjejaskan syarikat malah aliran tunai semakin stabil.

Kedudukan kewangan semakin stabil atas sokongan luar biasa berdasarkan hasil jualan dan bantuan pihak bank memandangkan kami adalah syarikat Bumiputera.

Terdahulu, Shuib mengakui syarikat jenama minuman miliknya, Bubble Bee lewat membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang didakwa seorang individu.

Jelas Shuib, masalah tersebut timbul disebabkan berlakunya salah urus dalam syarikatnya dan juga perubahan sistem pengurusan.

 

 

Leave a Reply