Hiburan

Sarah Yasmine Dakwa Keluarga Aliff Aziz Tiada Di Kuala Lumpur Ketika Kes Khalwat

2Views

Pempengaruh media sosial, Sarah Yasmine membuka mulut berhubung isu penukaran penjamin kepada penyanyi, Aliff Aziz bagi kes khalwat bersama aktres, Ruhainies.

Keluarga Aliff tiada di KL?

Menerusi ruangan komen di sebuah portal, seorang individu mempersoalkan mengapa adik lelaki Ruhainies iaitu Muhammad Nur Aiman Zainul Ilyas yang menjadi penjamin Aliff dan bukannya adik beradik kandung aktor itu.

Menjawab pertanyaan tersebut, Sarah mendakwa perkara itu adalah disebabkan adik beradik Aliff tiada di Malaysia ketika kejadian khalwat berlaku. Oleh hal demikian, Nur Aiman membuat keputusan untuk bertindak sebagai penjamin Aliff.

Sementara, menurut peguam yang mewakili Aliff dan Ruhainies iaitu Muhammad Amirul Ashraf A. Ghani berkata penukaran tersebut berlaku kerana penjamin tidak boleh memberi sepenuh komitmen atas urusan kerja.

Terdahulu, Aliff dan Ruhainies dilihat berada di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 20 Jun lalu berkemungkinan berikutan kes khalwat yang berlaku 9 Mac lalu.

Menurut sumber, Aliff dan Ruhainies juga telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Pada prosiding 3 Julai, Aliff dan Ruhainies kemudiannya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkhalwat dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Abu Suffian Abu Yaziz pada 3 Julai lalu.

Aliff dan Ruhainies didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah
Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama dan sekiranya didapati bersalah, mereka boleh dihukum denda maksimum sebanyak RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelumnya, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail memaklumkan siasatan kes khalwat membabitkan Aliff Aziz dan Ruhainies telah selesai.

Mohd Ajib berkata kertas siasatan tersebut telah dihantar kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (JAPENS) untuk tindakan lanjut.

Imbas kembali, pada 9 Mac lalu, dunia hiburan kecoh apabila Aliff dan Ruhainies ditahan Jawi di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.

Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan sekitar pukul 2 petang hari sama.