PELAKON Meerqeen menafikan dakwaan aktor Amir Ahnaf merampas aktres Anna Jobling daripadanya apabila pasangan itu digandingkan dalam sebuah produksi.
Katanya, istilah merampas tidak wujud disebabkan hubungannya bersama aktres terbabit hanyalah kawan rapat.
“Tidak timbul isu rampas merampas kerana antara saya dan Anna Jobling sekadar kawan, tiada sebarang hubungan istimewa.
“Itu hanya persepsi orang luar, hakikatnya kami bertiga tiada sebarang masalah.
“Jangan pula kerana pihak lain yang mengapi-api hal ini, hubungan kami sebagai rakan sesama industri jadi tidak baik,” katanya ketika ditemui pada majlis Viu Upfront 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Tambah pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu, sebagai sahabat, dia tidak berhak menghalang Anna berkawan dengan sesiapa sahaja, apatah lagi antara mereka tiada sebarang ikatan rasmi.
“Itu sahaja yang dapat saya katakan mengenai hal ini. Lagipun, sebagai pelakon, saya perlu bersikap profesional kerana industri hiburan kita kecil sahaja.
“Lambat-laun pasti kami akan bersua juga. Jadi, hal ini tidak perlu diperbesarkan kerana tiada isu pun antara kami,” ujar pelakon berusia 22 tahun itu.
Ditebak mengenai reaksi peminat yang masih mengharapkan dia dan Anna terus bergandingan, Meerqeen berkata dia tiada masalah jika itu yang dimahukan syarikat produksi.
“Terserah kepada peminat kerana saya hanya menjalankan tanggungjawab apabila bersetuju untuk menjayakan sesebuah produksi.
“Mungkin peminat masih belum dapat melupakan keserasian kami ketika beraksi dalam Melur Untuk Firdaus tetapi, kami juga harus mencuba pelbagai watak lain yang memerlukan saya dan Anna bergandingan dengan pelakon lain.
“Dalam hal ini, semua pihak perlu bersikap terbuka. Tidak perlulah hal ini diperbesarkan dan dijadikan isu,” tuturnya.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan Amir berang dan bertindak menegus seorang netizen yang dikatakan menghina bapa Anna ketika dia sedang membuat siaran langsung TikTok.
Tindakannya itu meraih pelbagai reaksi malah ada yang mendakwa dia menjalin hubungan istimewa dengan aktres jelita itu.
Bagaimanapun,Jejaka yang digilai menerusi drama Projek: High Council itu menafikan dakwaan itu.